Henti viral isu kurung penghuni rumah kebajikan
BATU GAJAH 28 Okt. - Jawatankuasa Rumah Kebajikan Kanak-kanak Cacat di sini meminta pihak tertentu memberhentikan penyebaran gambar kononnya penghuninya dikurung dalam kandang kerana perkara tersebut adalah tidak benar.
Pengerusinya, R.Sivalingam berkata, hanya 10 daripada kesemua 47 penghuni yang terencat akal berumur antara 20 hingga 40 tahun diasingkan dalam kubikel berpagar bagi mengelakkan mereka mencederakan antara satu sama lain ketika waktu tidur bermula pukul 9 malam hingga 6 pagi.
Menurut Sivalingam, langkah itu adalah inisiatif yang diambil hasil perbincangan jawatankuasa rumah kebajikan tersebut untuk menjaga keselamatan kerana penghuninya boleh mencederakan atau mengganggu antara satu sama lain selain dengan menarik atau menggigit serta keluar dari kawasan berkenaan jika tidak diasingkan.
"Rumah kebajikan ini yang diasaskan pada 1968 mempunyai 47 penghuni berusia dalam lingkungan 15 hingga 60 tahun dan mereka asalnya merupakan kanak-kanak yang ditinggalkan dengan memiliki pelbagai jenis kecacatan.
"Banyak pihak yang telah berkorban untuk menjaga mereka, jadi sebelum menyebarkan sesuatu perkara, pihak berkenaan perlu memeriksa perkara sebenar terlebih dahulu. Kalau boleh, ziarah rumah kebajikan ini untuk melihat keadaan sebenar.
"Jangan sebarkan sebarang perkara tidak betul sehingga menimbulkan imej yang buruk kepada rumah kebajikan ini. Kejadian ini bukan sahaja amat menyedihkan kami malah sukarelawan yang berkhidmat di sini sekian lama,” katanya dalam sidang akhbar di rumah kebajikan tersebut di sini hari ini.
Isnin lalu, dakwaan 10 penghuni rumah kebajikan terlibat yang menghidap penyakit mental kronik diletakkan dalam kawasan menyerupai kandang menjadi viral di laman sosial.
Malah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan kanak-kanak cacat dikurung di Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Batu Gajah kerana sangat bimbang dengan layan diterima penghuninya.
Tambah Sivalingam, satu laporan telah dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah bagi menjaga nama baik rumah kebajikan tersebut.
Katanya, jika isu ini masih berterusan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.
Sumber - UTUSAN ONLINE
Henti viral isu kurung penghuni rumah kebajikan
Reviewed by Unknown
on
9:46:00 PG
Rating:
Tiada ulasan: