Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak timbul isu Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk tersebut sebagai tidak halal.
"Permohonan sijil halal Jakim oleh Auntie Anne's sudah memasuki 'audit central kitchen' (dapur berpusat) dan dokumentasi untuk disahkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ng Wek Aik (DAP-Tanjong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Wek Aik mahu penjelasan mengenai tindakan Jakim yang didakwa mengesahkan produk Auntie Anne's tidak boleh mendapat sijil halal kerana beberapa menu yang menggunakan nama seperti 'Pretzel Dog' seperti dilaporkan media.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, syarikat francais itu telah membuat permohonan secara sukarela untuk mendapatkan persijilan halal daripada Jakim pada Ogos lalu.
Bagaimanapun katanya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab sengaja menimbulkan isu itu di media sosial melalui akaun palsu.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengakui aspek penjenamaan merupakan antara aspek yang diambil kira dalam mendapatkan persijilan halal Jakim.
Katanya, ini termasuk pertimbangan istilah-istilah yang boleh meragukan, mengelirukan dan menimbulkan sensitiviti kepada umat Islam.
"Allah sukakan benda yang baik, nama yang baik, kalau nama tidak baik, sensitif kepada umat Islam maka itu perlu pertimbangan.
"Tetapi semua itu akhirnya tentu ada budi bicara untuk dipertimbangkan, dan inilah yang sedang dalam perbincangan," katanya.
Menjawab soalan asal Wek Aik mengenai sama ada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dibenarkan mengeluarkan logo halal sendiri, Asyraf Wajdi berkata, hanya Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri sahaja yang berhak mengeluarkan sijil halal setakat ini. 
Sumber- BERNAMA, UTUSAN ONLINE