Dituduh pecah amanah, bapa saudara buka mulut
SHAH ALAM - "Saya bukanlah gemar membuka permasalahan keluarga untuk dijadikan tatapan dan sajian umum, tetapi melihat kepada tuduhan yang dilemparkan, (ia) memerlukan saya tampil memberikan penjelasan."
Demikian luahan bapa saudara anak mangsa nahas Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke), Muhammad Faizznur Asyraf Hussain, 26, menerusi satu kenyataan.
Menurut Faizznur, tindakannya tampil memberi penjelasan adalah untuk meredakan keadaan dan kemarahan netizen yang sedang memuncak ketika ini.
"Selepas pemergian arwah, Amira dan Aqila (dua anak mangsa kemalangan Duke) tinggal bersama saya dan mak saya. Selepas itu, kedua-dua keluarga di sebelah pihak ayah dan ibu Amira dan Aqila telah berbincang mengenai penjagaan Amira dan Aqila.
"Mak saya (nenek kepada Amira dan Aqila di sebelah arwah abang saya) meminta izin Wirda (nenek kepada Amira dan Aqila arwah kakak ipar saya) untuk menjaga dua anak ini.
"Mak saya ada menyatakan hasratnya untuk mempertanggungjawabkan penjagaan Amira dan Aqila bersama-sama Alang iatu abang nombor tiga saya kerana Alang merupakan seorang bapa yang sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Kesemua anak-anak Alang cemerlang dalam bidang akademik.
"Ada yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan isteri Alang juga ialah dua pupu kepada arwah ibu Amira dan Aqila. Kami sekeluarga amat mementingkan tentang hala tuju pendidikan yang terbaik untuk anak-anak ini.
"Sewaktu perbincangan dijalankan, semua ahli keluarga bersetuju termasuk kakak saya, Yusnidah Asyraf Hussain mengenai penjagaan Amira dan Aqila yang akan dijaga oleh mak saya dan Alang serta isteri," katanya.
Bagaimanapun menurut Faizznur, seminggu selepas pemergian Allahyarham, Yusnidah bertegas untuk membawa pulang Amira dan Aqila ke rumah mereka.
Menurutnya lagi, kakaknya sering memberi alasan setiap kali dia atau adik beradik lain cuba membawa pulang dua beradik malang itu untuk dijaga di rumah ibu dan abangnya.
"Kakak saya sering menyatakan alasan seperti membawa mereka berjalan-jalan dan sebagainya.
"Tidak lama selepas itu, mak saya jatuh sakit dan Yusnidah pada ketika itu bertindak membuat tuntutan di mahkamah tanpa berbincang dengan mak dan adik-beradik yang lain bagi menuntut hak penjagaan sementara bagi Amira dan Aqila dan mahkamah memberikan hak penjagaan sementara kepada kakak saya, Yusnidah.
"Pada ketika itu, abang ipar (suami Yusnidah) menelefon saya dan meminta diberikan keseluruhan duit derma rakyat Malaysia kepadanya untuk diuruskan memandangkan beliau sedang menjaga Amira dan Aqila pada waktu itu.
"Pada hemat saya dan adik-beradik lain ketika itu, kakak saya hanya mendapat hak penjagaan sementara, dan saya hanya akan menyerahkan keseluruhan wang itu selepas keputusan mahkamah terhadap hak penjagaan kekal yang akan dikeluarkan (yang masih lagi berjalan di mahkamah)," jelasnya lagi.
Minggu lalu, Faizznur dan abangnya, gagal untuk mengetepikan perintah membekukan akaun mereka yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kes Duke: Mahkamah kekal beku akaun bapa saudara]
Ini susulan Mahkamah Tinggi Syariah mengekalkan perintah membekukan tiga akaun bank itu dan menolak permohonan Faizznur dan Hamlizar Husain yang mencabar perintah berkenaan.
Sementara itu, tambah Faiznurr lagi, pemergian ibu mereka (nenek Amira, Aqila) pada Ogos tahun lalu menyebabkan keadaan bagi Amira dan Aqila bertambah rumit.
"Memandangkan usia kanak-kanak ini masih kecil, perancangan yang betul perlu dilakukan dalam menguruskan urusan perbelanjaan Amira dan Aqila. Kami bersepakat adik-beradik (kecuali kakak saya) perbelanjaan diberikan mengikut keperluan semasa anak-anak tersebut," katanya lagi.
Mengulas perkara berkaitan, Faizznur juga turut menafikan dakwaan serahan sebanyak RM12,000 sahaja kepada dua beradik berkenaan.
"Kakak saya meminta wang sebanyak RM12,000 daripada pemberian derma untuk digunakan bagi tujuan perbelanjaan menunaikan haji badal (arwah bapa dan ibu Amira dan Aqila), fidyah dan wakaf selebihnya untuk kegunaan membeli barang keperluan Amira dan Aqila. Kami adik-beradik sepakat memberi kepadanya.
"Selepas itu, duit belanja Amira dan Aqila diberikan secara konsisten kepada mereka berdua," jelasnya.
Tambah Faizznur lagi, pemberian duit belanja telah direkodkan dan ditandatangani oleh Yusnidah sebagai bukti penerimaan.
Segala proses penerimaan perbelanjaan turut disertakan saksi yang turut menandatangani dokumen tersebut, jelas Faizznur.
Faizznur pada masa sama turut menafikan salah faham tentang kenyataan Mufti Wilayah berhubung wang sumbangan orang ramai.
[ARTIKEL BERKAITAN: Wang sumbangan harus diurus dengan jujur]
"Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan seperti yang telah dihebohkan," sanggahnya dalam kenyataan sama.
Menurut Faizznur lagi, pihaknya dan keluarga akan akur dengan segala keputusan mahkamah demi memelihara masa depan serta kepentingan Amira dan Aqila ini.
"Cukuplah saya nyatakan bahawa netizen dan rakyat Malaysia perlu faham, memang mudah untuk mana-mana pihak membuat sebarang tuduhan tidak berasas dan memutar-belitkan fakta apabila pihak yang dituduh tidak diberikan ruang untuk membela diri secara telus serta rasional," jelasnya.
Sumber - Sinar Harian
Dituduh pecah amanah, bapa saudara buka mulut
Reviewed by Unknown
on
9:53:00 PG
Rating:
Tiada ulasan: