Kehidupan baharu Maulana
DARIPADA seorang yang cetek ilmu kehidupan, akhirnya penyanyi Muhd. Firdaus Maulana Mohamed, 28, atau Maulana bangkit menjadi manusia yang lebih berguna.
Seiring dengan kematangan usia, Maulana merancang corak kehidupannya agar lebih berwarna warni. Maulana mempelbagaikan bakat diri dengan tidak bertumpu sepenuhnya dalam bidang nyanyian semata-mata.
“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang sejak menyertai pertandingan nyanyian Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) enam tahun lalu.
“Daripada tidak tahu apa-apa menjadi semakin memahami. Saya akui memang terlalu sukar nak mengawal darah muda sebelum ini.
“Saya kerap melakukan kesilapan dan terlalu mengikut perasaan tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada tindakan saya itu.
“Kesemua proses itu saya lalui hinggakan satu peringkat, saya nekad untuk berubah,” kata Maulana bercerita mengenai dirinya pada hari ini.
Dalam usahanya untuk memperbaiki diri, Maulana menceburi bidang lakonan, pengacaraan dan aktif berceramah ke beberapa negara untuk misi bantuan kemanusiaan Aman Palestin.
Melengkapkan proses perubahan yang diinginkan, Maulana juga mencuba nasib dalam bidang rekaan fesyen selain terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir.
Maulana mengakui kepelbagaian itu banyak mengajarnya tentang erti tanggungjawab.
Keadaan itu juga membuatkan Maulana berjaya memperbaiki kelemahan demi kelangsungan seninya.
“Merantau ke negara orang adalah antara cara saya untuk memperbaiki diri. Sebagai contoh, saya mengambil kursus pendek dalam bidang fesyen di Indonesia pada tahun lepas.
“Ada banyak ilmu kehidupan yang saya pelajari pada tempoh itu. Yang pasti, saya tertarik dengan budaya masyarakat setempat yang mementingkan adab sopan,” jelasnya.
Bakal bapa
SIAPA sangka dalam tempoh pengajian di kota Jakarta, Maulana bertemu jodoh dengan Ajeng Leony Agnesia, 25, yang dikahwini pada 30 Julai yang lalu.
Keperibadian dan sikap menghormati wanita berketurunan Minang-Jawa itu telah mengikat hati Maulana biarpun usia perkenalan mereka baru dua bulan.
Berkongsi cerita, Maulana mengakui pernah cemas apabila wang simpanannya tidak mencukupi untuk mengadakan majlis perkahwinan gara-gara dipinjam rakan yang tidak mengotakan janji untuk melunaskan hutangnya.
Justeru impian untuk mengadakan majlis perkahwinan yang besar di Jakarta tidak kesampaian disebabkan insiden itu.
Pun begitu, Maulana sangat bertuah kerana Ajeng sangat memahami situasinya.
"Malah dia juga banyak memberi kata-kata semangat kepada saya.
“Sebenarnya ketika itu saya sangat runsing kerana wang yang dipinjamkan kepada rakan itu adalah wang sepatutnya digunakan untuk menampung belanja perkahwinan saya.
“Tapi Alhamdulillah, Ajeng memahami keadaan saya malah sanggup bersusah payah untuk sama-sama merealisasikan impian perkahwinan kami,” kata Maulana yang kini 'berpisah' selama dua bulan dengan isteri kerana komitmen kerjanya dengan Centro Pictures Sdn. Bhd. milik Pekin Ibrahim.
Bakal menimang cahaya mata pada Jun tahun depan, Maulana juga tidak dapat menyembunyikan rasa teruja selepas dikhabarkan bakal menjadi bapa oleh isterinya baru-baru ini.
Berita gembira itu sekaligus melengkapkan impian Maulana untuk bergelar bapa sebelum usianya menjejak angka 30 tahun.
“Saya sudah ada seorang anak angkat, Adam Mikail yang dipelihara sejak dilahirkan tahun lepas.
“Pengalaman itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kelahiran anggota baharu dalam keluarga saya nanti,” kata Maulana.
Merantau ke negara orang adalah antara cara saya untuk memperbaiki diri. Sebagai contoh, saya mengambil kursus pendek dalam bidang fesyen di Indonesia pada tahun lepas.
Kehidupan baharu Maulana
Reviewed by Unknown
on
4:21:00 PTG
Rating:
Tiada ulasan: