Tragedi HSA :Lebih 400 dipindahkan sehingga kini - Dr Hilmi
JOHOR BAHRU: Lebih 400 pesakit sudah dipindahkan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) setakat ini ke beberapa hospital berhampiran, termasuk ke hospital kerajaan di daerah lain.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata operasi pembedahan juga akan dipindahkan ke hospital lain termasuk di Mersing, Kluang dan Segamat selain Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai di Tampoi.
Katanya, susulan pengumuman Menteri Kesihatan yang menutup blok Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA, semalam tiada lagi pesakit dipindahkan kerana semua sudah dilakukan pada hari kejadian.
"Penutupan semalam tidak membabitkan pemindahan kerana semua proses pemindahan lebih 400 pesakit itu dilakukan pada hari kejadian (Selasa lalu) ke beberapa hospital berhampiran.
"Jika ada operasi pembedahan membabitkan pesakit yang dipindahkan, pakar dan doktor akan membawa pasukan mereka termasuk jururawat dan selepas selesai mereka akan pulang dan tidak membebankan tenaga kerja di hospital yang memberi tumpangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat daripada pihak HSA hampir sejam di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican. Dr Hilmi berkata, kerja ubah suai dan penambah baikan Wad ICU yang terbakar perlu dilakukan segera dan menyeluruh kerana ia membabitkan bangunan lama yang memerlukan sistem pendawaian dan paip oksigen yang baharu.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, semalam mengumumkan blok barat yang menempatkan ICU di HSA ditutup untuk pemeriksaan menyeluruh.
Tragedi HSA :Lebih 400 dipindahkan sehingga kini - Dr Hilmi
Reviewed by Unknown
on
11:20:00 PG
Rating:
Tiada ulasan: