Uber pelawa rakyat Malaysia sertainya
KUALA LUMPUR - Penyedia platform perkhidmatan pengangkutan dalam talian, Uber Malaysia, menyambut baik pengiktirafan kerajaan terhadap peranannya dan mempelawa lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai syarikat berkenaan.
Ketika membentangkan Bajet 2017 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, membangkitkan bagaimana perkhidmatan sebagai pemandu Uber boleh memberi impak positif kepada status sosioekonomi golongan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).
"Kami mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk menjadi rakan pemandu," kata Pengurus Besar Uber Malaysia, Leon Foong, kepada Bernama, hari ini.
Menerusi pembabitan sebagai pemandu perkhidmatan pengangkutan berkenaan, rakyat Malaysia dapat menjana pendapatan untuk diri sendiri dan menyara keluarga, katanya.
"Uber Malaysia juga teruja untuk menjadikan Proton, pengeluar kereta nasional sebagai rakan (kerjasama) dan akan mengumumkan butiran berkaitan tidak lama lagi," katanya.
Menurutnya, sepertimana Uber yang menjadi perintis industri perkhidmatan pengangkutan itu, Proton juga adalah pelopor industri kereta di Malaysia.
"Kami berkongsi wawasan untuk mengemudi Malaysia menempuhi inovasi teknologi dan mewujudkan peluang ekonomi," katanya.
Malah, kata Foong, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, inisiatif itu juga jelas memaparkan usaha pemerkasaan ekonomi.
"Ia (kenyataan Perdana Menteri) turut menjadi kejayaan bagi industri (perkhidmatan pengangkutan) dan menunjukkan kepemimpinan yang berwawasan. Kami memuji kerajaan Malaysia di atas bajet yang berpaksikan rakyat.
"Di mana juga kami beroperasi, Uber terbukti memberi impak positif terhadap rakyat serta bandar selain turut menyumbang kepada ekonomi tempatan," katanya.
Beliau berkata, Uber juga tidak menetapkan sebarang sasaran mengenai bilangan pemandunya di Malaysia, setakat ini.
Sumber - Bernama, Sinar Harian
Uber pelawa rakyat Malaysia sertainya
Reviewed by Unknown
on
12:19:00 PTG
Rating:
Tiada ulasan: